KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memulakan program pembangunan kemahiran di sekolah-sekolah pada tahun ini sebagai sebahagian usaha memperkasa remaja perempuan dari peringkat awal.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, inisiatif itu bertujuan melahirkan golongan wanita yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran untuk menjana pendapatan pada masa depan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, perancangan tersebut perlu dibincangkan bersama kementerian berkaitan serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi melaksanakan program berkenaan.
“Apabila berada di KPWKM, saya berkongsi dengan pegawai bahawa sebelum mereka menjadi wanita, mereka adalah kanak-kanak perempuan terlebih dahulu.
“Sebab itu kita kini mahu masuk ke sekolah untuk menyediakan program kemahiran kepada mereka. Ada antara mereka suka mencuba kemahiran baharu dan pada masa depan mereka boleh menjual hasil kemahiran itu serta menjana pendapatan sendiri.
“Ia juga merupakan satu bentuk pemerkasaan ekonomi untuk remaja perempuan,” katanya.
Beliau bercakap ketika sidang media selepas Perasmian Persidangan Rotary 2026 (DisCon26) di bawah tema penyatuan “Bersatu Demi Kebaikan” di Pusat Persidangan dan Acara Connexion, hari ini.
Nancy berkata, pelaksanaan program itu dijangka dibuat selepas peperiksaan sekolah bagi membolehkan pelajar mengikuti latihan kemahiran selama dua hingga tiga hari.
“Kita mahu mereka menjadi wanita yang mempunyai kemahiran dan masa depan yang lebih baik, bukan hanya tertumpu kepada akademik tetapi juga pembangunan kemahiran,” katanya.-Astro Awani
