KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu agensi yang menawarkan bantuan kepada peniaga kecil, khususnya dalam aspek pinjaman supaya menggiatkan usaha turun padang ke lokasi perniagaan mereka bagi menguar-uarkan berhubung kemudahan yang ditawarkan kepada golongan berkenaan.
Perdana Menteri berkata, langkah itu penting kerana beliau mendapati masih ada peniaga kecil yang tidak tahu berhubung manfaat pinjaman dan bantuan ditawarkan agensi kerajaan, walaupun kemudahan itu sangat meluas di negara ini.
Beliau berkata, langkah turun padang oleh agensi berkaitan juga perlu dilaksanakan selepas laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati bahawa kemudahan pinjaman adalah meluas di negara ini tetapi ia tidak diketahui atau dimanfaatkan golongan sasar.
“Justeru dua minggu yang lalu saya panggil semua agensi mikro-kredit ke pejabat dan bincang dengan agensi berkenaan dan putuskan kita turun..cuba kita turun dan beritahu manfaatnya dan jangan minta mereka datang ke pejabat.
“Jadi di sini umpamanya kita lihat di Taman Melawati, ratusan syarikat kecil yang memulakan perniagaan tapi kadangkala perlu RM10,000 atau RM20,000 pinjaman. Mereka beritahu kalau dapat pinjaman RM10,000 pun syukur tingginya.
null
“Saya juga tanya adakah masalah, ada tak pinjaman, boleh tak pergi buat pinjaman, ada tak bayaran balik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan lawatan bersama agensi berkaitan antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Agrobank, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bank Rakyat, dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), ke Pasar Tani Taman Melawati, di sini hari.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, keperluan golongan peniaga kecil ini perlu diberi perhatian kerana jumlah komuniti mereka adalah tinggi membabitkan ratusan ribu di negara ini.
Malah beliau berkata, peniaga kecil juga dilihat berdisiplin dalam menguruskan pembayaran semula pinjaman dan ia dibuktikan melalui kadar Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) mereka yang sangat rendah.
“Kadar bayaran macam Amanah Ikhtiar itu, kalau wanita hampir 100 peratus, kalau lelaki 95 peratus, okeylah. Maknanya mereka bayar balik.
“Jadi masalah pinjaman ini mudah bagi kalangan pendapatan rendah ya. Kalau NPL untuk orang-orang kaya itu lain.
“Jadi sebab itu saya datang turun dan minta mereka sekali sekala turun dan beritahu kemudahan. Saya ucap terima kasih kepada agensi kerana mereka turun sendiri dengan pegawai mereka bagi penerangan untuk memudahkan pinjaman. Itu tujuan dia.
“Maknanya kita mesti turun, sampaikan peluang itu kepada rakyat dan mereka lihat sendiri. Ratusan diberi peluang untuk mendapat pinjaman dengan wang (kadar) perkhidmatan yang rendah sekitar empat peratus sahaja,” katanya.
Sementara itu, menurut kenyataan media Kementerian Kewangan (MOF), lawatan berkenaan menandakan mukadimah kepada gerak kerja yang lebih menyeluruh oleh institusi kewangan dan agensi kerajaan untuk mendekati peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang terhimpit oleh kekangan modal.
MOF berkata, secara keseluruhan, lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan medium, kecil dan sederhana (PMKS) pada tahun ini.
Minggu lalu, kerajaan MADANI mengumumkan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro.
Kemudahan itu membabitkan pinjaman sehingga RM100,000, dengan kadar pembiayaan bagi skim tertentu serendah empat peratus setahun.
MOF berkata, kemudahan pembiayaan mikro berkenaan adalah berasingan daripada kemudahan pembiayaan PMKS yang baharu diumumkan, khususnya RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia serta RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).-BH Online
