Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA KINABALU: Kerajaan komited memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan penggunaan ‘fleet card’ ‎dalam penyaluran subsidi bahan api menerusi Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata ini termasuk memperkukuh kerangka perundangan berkaitan kawal selia barang kawalan bersubsidi.

‎”Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mewujudkan suatu kerangka perundangan yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur bagi pelaksanaan, pengawalseliaan serta ‎penguatkuasaan penggunaan fleet card.

‎”Antara lain peraturan ini akan melibatkan aspek tanggungjawab pemegang ‘fleet card’ dan syarikat ‎minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.

‎”Tindakan ini diambil susulan wujudnya modus operandi melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel dan petrol melalui penyalahgunaan ‎fleet card,” katanya selepas perasmian `Inspirasi Kita Beli Barangan Malaysia’ oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

‎Penganjuran program itu di sini, adalah siri pertama daripada lima ‎yang dianjurkan tahun ini.

rmizan berkata sebanyak 223 fleet card dibawah pelaksanaan SKDS dan SKPS disekat sejak 2023 sehingga 14 Mei 2026.

“Kementerian akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat lapangan ‎dan mana-mana pihak yang menyalahgunakan fleet card bagi tujuan ‎penyelewengan subsidi diesel dan petrol akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan melalui SKDS akan diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan ‎(WP) Labuan. 

‎‎Katanya, fasa awal perluasan itu membabitkan permohonan pendaftaran menyertai SKDS bagi syarikat-syarikat sektor pengangkutan darat barangan di ketiga-tiga wilayah bermula 4 Mei 2026 lalu. 

‎”Permohonan untuk mendapatkan manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan ini boleh dibuat melalui portal MySubsidi,” katanya.-BH Online