PUTRAJAYA: Tiga syarikat tempatan hari ini menerima surat tawaran bagi pembangunan semikonduktor tempatan dalam kerjasama antara Kerajaan Malaysia dan Arm Limited.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata tawaran itu membuka akses kepada platform pengkomputeran dan portfolio harta intelek (IP) Arm bagi mempercepat pembangunan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.
Beliau berkata, penyerahan tawaran itu memberi isyarat bahawa Malaysia sedang bergerak ke fasa baharu industri semikonduktor.
“Malaysia telah lama dikenali dalam aktiviti pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip. Kekuatan ini penting, tetapi masa depan industri tidak boleh berhenti di situ.
“Kita mesti bergerak lebih jauh daripada back-end kepada front-end, daripada sekadar menghasilkan kepada mereka bentuk, membangunkan IP dan mencipta teknologi sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada Entiti Diluluskan di Bawah Kerjasama Strategik antara Kerajaan Malaysia dan ARM Limited dalam Industri Semikonduktor, di sini, hari ini.
Kerjasama Malaysia–Arm itu merangkumi tiga teras utama, iaitu melatih 10,000 bakat perekabentuk IC, memberi akses kepada teknologi pengkomputeran dan portfolio Arm kepada syarikat Malaysia terpilih, serta membangunkan produk semikonduktor tempatan yang direka bentuk di Malaysia.
Inisiatif itu selari dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
Beliau berkata, antara sasaran yang diberi perhatian termasuk penggunaan tenaga mahir tempatan, peningkatan nilai dalam rantaian industri serta pembangunan reka bentuk dan penciptaan teknologi tempatan.-BH Online
