Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor melancarkan inisiatif perintis yang menawarkan baucar makanan RM200 kepada lebih 4,000 isi rumah di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee, dengan mengambil inspirasi daripada model pusat makanan Geylang Serai di Singapura.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata inisiatif dikenali sebagai Baucar Kasih Johor itu bukan saja bagi mengurangkan kos sara hidup penduduk, malah ia dapat menghidupkan semula pusat perniagaan komuniti tempatan.

Beliau berkata, idea itu tercetus selepas lawatannya ke Geylang Serai pada tahun lalu dan melihat ekosistem itu berjaya menggabungkan makanan mampu milik, kebersihan serta pembabitan komuniti yang kukuh.

“Ia bukan sekadar tempat makan, tetapi berfungsi sebagai pusat komuniti. Kita mahu mencontohi konsep itu di Medan Niaga Kampung Melayu Majidee,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.

Projek perintis Baucar Kasih Johor fasa pertama sebelum diperluaskan ke semua 16 PBT di seluruh Johor ini sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri mengurangkan kesan kenaikan kos sara hidup sambil memacu pertumbuhan ekonomi mampan.

Di bawah skim ini, ketua isi rumah yang layak akan menerima baucar RM200 yang boleh digunakan di gerai dalam pusat makanan berkenaan.

Inisiatif ini bertujuan memastikan rakyat mendapat akses kepada makanan pada harga berpatutan, selain mewujudkan persekitaran perniagaan kecil yang lebih tersusun dan moden.

Onn Hafiz berkata, pemantauan dan penguatkuasaan ketat akan dilaksanakan, khususnya dari segi kebersihan, kualiti makanan, harga dan perkhidmatan bagi memudahkan orang ramai.

“Jika berjaya, program ini akan diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negeri yang memberi manfaat kepada lebih ramai komuniti dan memperkukuh aktiviti ekonomi akar umbi,” katanya.-BH Online