Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CEBU, FILIPINA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan yang berlangsung selama dua hari di Filipina bermula Khamis ini.

Anwar dan delegasi dijadual tiba di Cebu jam 1 tengah hari Khamis bagi mengikuti Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) pada sebelah petang.

Beliau akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah serta pegawai kanan kerajaan.

Pada Jumaat pula, Anwar akan menyertai Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 bersama pemimpin negara anggota lain dengan jangkaan tumpuan menyentuh kepada kesan krisis Asia Barat terhadap rantau ini.

Perdana Menteri turut dijangka mengadakan beberapa mesyuarat sela dengan rakan sejawat serantau sepanjang sidang berlangsung.

Menurut Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino Anthony, beberapa mesyuarat peringkat menteri akan berlangsung lebih awal pada Khamis.

“Ini termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-31, Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN ke-38 serta Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN. 

“Mesyuarat bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN itu merupakan kesinambungan inisiatif yang dimulakan ketika Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN. 

“Pendekatan ini bertujuan memperkukuh penyelarasan antara tonggak politik keselamatan dan ekonomi ASEAN, selaras dengan cabaran serantau dan global yang semakin kompleks,” katanya dalam taklimat bersama media Malaysia, di sini, pada Rabu.

Abdul Malik berkata, Malaysia juga menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh Kepusatan ASEAN, perpaduan dan daya tahan rantau.

Jelas beliau, antara isu utama selain kesan konflik di Asia Barat, fokus turut tertumpu kepada perbincangan mengenai konflik pembangunan Komuniti ASEAN, keselamatan tenaga dan makanan serantau serta keselamatan rakyat ASEAN di kawasan terjejas.-Astro Awani