BACHOK, 3 Mei– Kerajaan terus memperketat pemantauan khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan kes penipuan tawaran perkhidmatan badal haji yang dilaporkan media tempatan Arab Saudi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berkaitan penipuan terbabit.
“Setakat ini, kita belum terima lagi aduan. Memang kita rasa berdebar-debar juga. Moga-moga tiada. Sekiranya ada ketidakpastian boleh rujuk Tabung Haji kerana kita ingin mengelakkan kes penipuan,” jelas beliau.
Selain menempatkan pemantau di KLIA, Tabung Haji turut membuat pemantauan serta tawaran iklan yang mencurigakan di media sosial.
Sehubungan itu, umat Islam di Malaysia diingatkan supaya membuat pengesahan dengan pihak berwajib sebelum menerima sebarang tawaran bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Dr Zulkifli ditemui media selepas merasmikan Projek Pemerkasaan Perusahaan Bakeri dan Pastri di Kampung Telong.-Berita RTM
