Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kebertanggungjawaban dan integriti perlu kekal sebagai tonggak utama kepada sebuah kerajaan jika benar-benar mahu memastikan negara bebas daripada penyelewengan serta rasuah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berpegang kepada prinsip itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan MADANI yang diterajuinya melaksanakan pelbagai reformasi yang berani, dengan matlamat membawa Malaysia mencapai negara berstatus berpendapatan tinggi dan membina salah satu ekonomi yang paling berdaya saing di dunia.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan audit dan audit dalaman adalah keperluan utama dalam pentadbiran dan ia perlu dilaksanakan dengan berkesan untuk menangani masalah seperti ketirisan, keterlanjuran, rasuah dan isu berkaitan tatakelola. 

“Justeru, saya memberikan ruang seluas mungkin kepada Jabatan Audit Negara supaya jentera kerajaan diawasi, dipantau dari dekat dan ini harus mendapatkan kerjasama sepenuhnya dengan Bursa Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan syarikat swasta.

“Kita bicara mengenai perlunya kita pacu pertumbuhan tetapi dalam mana-mana negara, dengan kekuatan ekonomi, tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah jika dibiarkan dengan keterlanjuran dari segi ketirisan dan rasuah serta penyelewengan yang terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Konfederasi Asia Institut Juruaudit Dalaman (ACIIA) 2025 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi; Presiden ACIIA, Manoj Agarwal dan Presiden Institut Juruaudit Dalaman (IIA) Malaysia, Suhailah Mohamed Abdulla. 

Jadikan pedoman kes 1MDB

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beberapa kes berprofil tinggi, seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah antara contoh bagaimana penyelewengan boleh berlaku, dengan pembabitan juruaudit, juruaudit dalaman dan institusi kewangan antarabangsa. 

Katanya, jenayah seumpama itu berlaku disebabkan kurangnya sikap integriti dan bersubahat dengan penyelewengan, hanya kerana rasa tamak. 

“Justeru, kita perlu memahami apakah yang dimaksudkan dengan pengawasan sistem. Keperluan untuk bertindak dengan penuh ketelusan, kebertanggungjawaban dan kepercayaan adalah sangat penting. 

“Ini adalah asas yang membolehkan sesebuah institusi kekal utuh, terutama apabila berdepan ujian. Isu semak dan imbang bukan satu pilihan tetapi keperluan,” katanya. 

Audit susulan dapat kutip semula RM159 juta sejak 2024

Perdana Menteri, berkata sejak 2024, audit susulan yang dilaksanakan Jabatan Audit Negara berjaya memulihkan sebanyak RM159 juta wang kerajaan. 

Justeru, bagi memastikan tatakelola terus diperkukuh, kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS), yang diumumkan pada Jun lalu, bagi menangani isu pelanggaran kritikal dengan cepat. 

“Pada awal tahun ini, saya melancarkan empat garis panduan audit baharu yang memperluas kuasa jabatan kepada mana-mana entiti yang menerima dana awam. 

“Ini tidak berlaku sebelum ini. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yayasan, apa saja, apabila anda menerima dana awam, anda tertakluk kepada pendekatan dana awam dan ini dapat membendung ketirisan serta rasuah,” katanya.

Persidangan Konfederasi ACIIA 2025, yang dianjurkan semula di Malaysia selepas tujuh tahun, dihadiri hampir 1,500 profesional tadbir urus dari 26 negara.-BH Online