Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggariskan beberapa langkah dan proses penilaian bagi memastikan kawasan dikenal pasti untuk pembaharuan semula bandar (PSB) ditentukan secara holistik dan adil.

Menteri, Nga Kor Ming, berkata antaranya ialah pihak berkuasa negeri (PBN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) memainkan peranan utama menyediakan rancangan pemajuan seperti Rancangan Struktur Negeri dan Rancangan Tempatan dengan mengenal pasti serta memasukkan kawasan berpotensi PSB dalam rancangan pemajuan.

Proses itu, katanya, dilaksanakan mengikut peruntukan Bahagian III, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) serta Bahagian III, Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 (Akta 267).

Beliau berkata, semasa publisiti rancangan pemajuan dijalankan, pemilik hartanah terbabit bertanggungjawab menyatakan pandangan atau bantahan jika tidak bersetuju terhadap cadangan kawasan PSB.

“PBT akan mengadakan sesi pendengaran bantahan bagi meneliti dan mempertimbangkan maklum balas diterima daripada pemilik hartanah.

“Bagi memastikan suara rakyat sentiasa didengari, sesi libat urus juga akan diadakan bersama pemegang taruh dan pihak berkepentingan seperti agensi Kerajaan Persekutuan dan negeri, badan profesional, wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain.

“Kawasan dan bangunan dikenal pasti sebagai bangunan tidak selamat, laporan pemeriksaan visual terperinci akan disediakan jurutera profesional berdaftar, selaras seksyen 85A Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Negara.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Rosni Sohar mengenai bentuk kriteria teknikal dan perundangan akan digunakan badan bebas dalam cadangan Rang Undang-undang (RUU) PSB 2025 bagi menentukan bangunan layak dibaik pulih atau dirobohkan serta penilaian itu merangkumi aspek struktur fizikal, kesesuaian guna tanah, impak sosial dan sejarah bangunan.

Sementara itu, Kor Ming berkata, penilaian dilaksanakan dalam dua peringkat bagi memastikan cadangan PSB dibuat secara menyeluruh dan bersepadu.

Beliau berkata, ini membabitkan penilaian awal terhadap struktur fizikal, kesesuaian guna tanah, impak sosial dan nilai sejarah bangunan.

Penilaian itu, katanya, akan dibuat semasa proses pengenalpastian kawasan berpotensi PSB dicadangkan untuk dimasukkan dalam rancangan pemajuan (rancangan struktur dan rancangan tempatan).

“Selain itu, penilaian kedua akan dilaksanakan semasa sesi rundingan bersama pemilik dan orang berkepentingan dengan merujuk laporan teknikal menyeluruh seperti Cadangan PSB, permintaan untuk cadangan (RFP), ‘Business Plan’, ‘Viability Study’, ‘Feasibility Study’ yang menyeluruh bagi mengkaji kebolehlaksanaan projek,” katanya.-BH Online