LANGKAWI: Malaysia mencadangkan penubuhan sekretariat khusus bagi menyelaras kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi peringkat rantau ASEAN.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata penubuhan sekretariat itu penting memandangkan ASEAN belum mempunyai satu platform khusus mengenainya, meskipun wujud Rangkaian Universiti ASEAN (AUN) sejak sekian lama.
Berikutan itu, beliau mewakili Malaysia, menawarkan diri menjadi tuan rumah bagi penubuhan sekretariat pendidikan tinggi ASEAN, sekali gus memperkukuh peranan negara di rantau ini.
“Walaupun kita ada AUN, ia hanya berfungsi dalam menyediakan kerjasama dengan universiti tertentu sahaja dan sepatutnya semua universiti yang dikawal selia kerajaan dapat berada dalam satu platform yang sama.
“Penubuhannya (sekretariat) bertujuan mewujudkan kerjasama lebih menyeluruh dan tersusun,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Pendidikan Tinggi ASEAN: Pembangunan Bakat dan Teknologi Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.
Zambry berkata, cadangan penubuhan sekretariat itu selari kedudukan Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan tinggi antarabangsa menerusi pencapaian membanggakan ditunjukkan institusi pengajian tinggi tempatan.
“Universiti Malaya, kini tersenarai dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia. Malah, bagi penarafan universiti terbaik ASEAN, tujuh daripada 10 universiti terbaik berada di Malaysia, dua di Singapura dan satu di Thailand.
“Kejayaan itu menjadikan pendidikan di Malaysia dipandang tinggi negara lain, malah sentiasa berdiri teguh sebagai pusat rujukan pendidikan tinggi peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, sempena kepengerusian ASEAN 2025, menteri pendidikan tinggi ASEAN yang hadir turut bersetuju memperkukuhkan kerjasama dalam mobiliti pelajar dan pensyarah antara universiti, selain mengiktiraf sijil dan ijazah yang dikeluarkan universiti serantau.
“Malaysia dalam hal ini diwakili Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersama agensi setara di negara ASEAN lain, bagi memastikan kualiti dan kesahihan sijil dikeluarkan diiktiraf bersama.
“Secara dasarnya, kita mencapai persetujuan dalam perkara ini dan turut bersetuju menubuhkan platform bagi membantu pelaksanaan pelbagai agenda pendidikan, termasuk pembangunan bakat di peringkat ASEAN,” katanya.
Zambry berkata, kenyataan bersama mengenai hasil perbincangan itu akan dikeluarkan selepas semua rundingan selesai, sebagai komitmen semua negara ASEAN untuk melaksanakan agenda yang dipersetujui.-BH Online