Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang berada di Iran dijangka dipindahkan keluar dengan bantuan kerajaan seawal Jumaat ini susulan tindakan agresif rejim Zionis terhadap Iran yang menyebabkan ketegangan ketara di rantau berkenaan.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, berkata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan jumlah rakyat Malaysia sama ada pelancong, pelajar atau yang bekerja di sana tidak terlalu ramai.

“Jumlah rakyat Malaysia tidak terlalu besar, tetapi kerajaan sudah melakukan persiapan visa mereka yang sudah dimuktamadkan dan akan melakukan perjalanan keluar dalam tempoh sehari dua ini.

“Beberapa persiapan sudah dilakukan tetapi memandangkan ini membabitkan aspek keselamatan, ia tidak boleh didedahkan,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini, hari ini.

Semalam, semua rakyat Malaysia yang menetap di Iran dinasihatkan meninggalkan negara berkenaan serta-merta melalui apa-apa kaedah selamat dan tersedia.

Nasihat itu dikeluarkan Kementerian Luar (KLN) yang memantau perkembangan keselamatan di Iran melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran.

Wisma Putra berkata, situasi semasa adalah sangat tidak menentu dan berpotensi menjadi lebih buruk tanpa sebarang amaran awal.

Katanya, keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia kekal sebagai keutamaan kementerian.-BH Online