Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kerajaan melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) menyalurkan bantuan RM3.28 juta kepada 164 rumah ibadat Hindu, Sikh dan Kristian dalam masyarakat India di seluruh negara menerusi Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata bantuan bertujuan memperkukuh peranan rumah ibadat sebagai pusat pembangunan komuniti setempat.

Menurutnya, menerusi Program Harmoni MADANI Siri 1, kerajaan meluluskan peruntukan RM1.38 juta kepada 69 rumah ibadat, terdiri daripada 57 gurdwara dan 12 gereja.

Katanya, setiap rumah ibadat menerima bantuan sebanyak RM20,000 bagi menyokong keperluan serta pelaksanaan aktiviti keagamaan, kerohanian, kebudayaan dan kemasyarakatan.

“Kerajaan turut meluluskan bantuan RM1.9 juta kepada 95 rumah ibadat Hindu menerusi Program Dharma MADANI Fasa 2, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan diluluskan di bawah program itu sebanyak RM15.42 juta. 

“Ia meliputi 71 rumah ibadat Hindu di seluruh negara,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Program Dharma MADANI dan Program Harmoni MADANI, di sini, hari ini.

Ramanan berkata, kedua-dua program itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasa institusi rumah ibadat serta memperluas peranannya dalam pembangunan sosioekonomi masyarakat India.

Beliau berkata, bantuan kewangan yang disalurkan bukan sahaja membantu memperkukuh rumah ibadat, malah membolehkan pelbagai aktiviti komuniti dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada masyarakat.

Katanya, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuh sokongan kepada rumah ibadat yang layak bagi meningkatkan peranannya sebagai pusat keagamaan dan pembangunan komuniti.

“Inisiatif itu diharap dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat India, selain memupuk keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya. -BH Online