KUALA LUMPUR: Mengambil kira keperluan rakyat di setiap kawasan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan agihan peruntukan pembangunan dilaksanakan secara adil tanpa ada yang terpinggir.
Perdana Menteri berkata, Jemaah Menteri memutuskan supaya semua kawasan Parlimen termasuk diwakili pembangkang diberi pertimbangan sewajarnya dalam agihan peruntukan.
Berdasarkan rekod, katanya, tiada pihak dipinggirkan sama ada di peringkat kawasan Parlimen atau negeri.
Beliau mengambil contoh di Terengganu yang mana jumlah keseluruhan peruntukan Persekutuan meningkat daripada RM6 bilion ketika pentadbiran terdahulu, kepada RM8.2 bilion pada 2027 di bawah Kerajaan MADANI.
“Ketika pentadbiran terdahulu, jumlah keseluruhan peruntukan Persekutuan kepada Terengganu ialah RM6 bilion.
“Di bawah Kerajaan MADANI, kita meningkatkan peruntukan itu kepada RM8.2 bilion pada 2027. Apakah ada pengurangan? Tidak, malah peruntukan ditambah.
“Saya selalu membuat perbandingan dengan 2022 kerana peningkatan peruntukan itu besar, iaitu daripada RM6 bilion kepada RM8.2 bilion. Di mana diskriminasinya?” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Soalan mengenai formula dan kriteria diambil kira kerajaan dalam menentukan jumlah agihan peruntukan pembangunan kawasan (CDF) kepada setiap kawasan Parlimen, bagi memastikan keperluan asas rakyat setempat terus terjamin dan dapat diberi perhatian sewajarnya.
Perdana Menteri menjelaskan, peruntukan pembangunan disalur berdasarkan keperluan setiap kawasan Parlimen, bukannya diberi secara langsung kepada Ahli Parlimen.
Beliau berkata, perkara dibangkitkan ialah mengapa peruntukan tidak disalurkan melalui Ahli Parlimen.
“Saya sudah jawab bahawa peruntukan itu disalurkan kepada kawasan Parlimen masing-masing.
“Peruntukan yang disediakan untuk kawasan Parlimen Besut adalah untuk Besut,” katanya.
Anwar berkata, pelaksanaan projek pembangunan turut mengambil kira keperluan setempat dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri serta kementerian berkaitan.
Beliau berkata, pendekatan sama turut dilaksanakan di kawasan Parlimen diwakili parti kerajaan, apabila peruntukan pembangunan tidak semestinya disalurkan melalui wakil rakyat..
Justeru, katanya, tidak timbul tanggapan kawasan pembangkang dan penduduk kawasan itu dianaktirikan.
“Adakah setiap projek mesti disalurkan melalui Ahli Parlimen? Tidak. Malah, di kawasan diwakili parti kerajaan sekalipun, peruntukan pembangunan tidak semestinya disalurkan melalui Ahli Parlimen,” katanya.
Anwar berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof diberi tanggungjawab untuk mengetuai rundingan memorandum persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Saya sudah katakan, jika ditandatangani hari ini, esok saya akan luluskan. Kalau mereka tidak mahu berunding, itu bukan masalah saya,” katanya. -BH Online
