KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan dukacita susulan nahas tragis hingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam satu kemalangan di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, pagi tadi.
“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang membabitkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar.
“Takziah kepada semua keluarga mangsa. Kami mendoakan kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosialnya, hari ini.
BH melaporkan, kemalangan berlaku selepas kawasan rehat dan rawat (RNR) Banjaran Titiwangsa, Lebuh raya Timur Barat dan jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.05 pagi tadi.
Sejumlah 45 mangsa terbabit termasuk 43 pelajar UPSI Tanjung Malim, masing-masing seorang pemandu dan seorang pembantu selain empat lagi mangsa menaiki kenderaan Perodua Alza.
Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua supaya sentiasa berhati-hati dan usah terburu-buru mengejar destinasi.
“Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya menerima laporan awal berkenaan kemalangan membabitkan pelajar universiti itu dan memohon seluruh warga UPSI serta masyarakat mendoakan supaya urusan dipermudahkan.
“Pihak universiti kini sedang mengambil tindakan susulan berkaitan perkara itu.
“Pihak UPSI sentiasa prihatin kebajikan pelajar dan akan memberi bantuan serta sokongan kepada waris,” menurut kenyataan itu.-BH Online