Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Proses bedah siasat terhadap semua 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terbabit nahas maut pagi tadi telah selesai sekitar jam 6 petang tadi. 

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin berkata dua jenazah dibedah siasat di Hospital Gerik dan telah diserahkan lebih awal kepada pihak keluarga di Terengganu.

“Setelah perbincangan diadakan antara waris dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, dua jenazah itu telah diserahkan lebih awal berbanding 13 yang lain di Ipoh,” katanya. 

Tambah beliau, bedah siasat bagi baki 13 jenazah yang dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini juga telah diselesaikan sekitar jam 6 petang.

“Kita hanya menunggu pelepasan daripada pihak hospital, selepas itu jenazah akan diserahkan kepada waris masing-masing.

“Semua jenazah akan dilepaskan secara serentak. Kami merancang untuk mengiringi konvoi jenazah menggunakan Jalan Raya Timur Barat menghubungkan Gerik-Jeli bersama kontinjen dari Kelantan dan Terengganu.

“Kami akan iringi dari sini, keluar melalui laluan Kuala Kangsar, seterusnya ke Gerik. Kemudian ke Jeli dan dari Jeli terus ke Kuala Terengganu, di sempadan antara Kelantan dan Terengganu,” katanya. 

Terdahulu, dilaporkan 15 pelajar terkorban dalam kemalangan membabitkan sebuah bas pelajar dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat, awal pagi tadi. 

Bas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke kampus utama UPSI di Tanjung Malim.-BH Online