MEKAH: Malaysia melalui Tabung Haji (TH) bukan sahaja mengekalkan kecemerlangan untuk empat tahun berturut-turut, malah julung kalinya memperoleh anugerah tertinggi – Diamond Award Labbaittom bagi pengurusan jemaah haji terbaik dunia.
Anugerah itu dinobatkan oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, di sini, pada Ahad malam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kejayaan ini adalah hasil kerja dan komitmen tinggi, khususnya warga TH di lapangan dan Sahabat Maktab yang menyantuni jemaah haji.
Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Pengerusi TH, Tan Sri Rashid Husain; Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustaqim Muhammad dan Ketua Rombongan Haji, Mohd Hisham Harun.
“Walaupun menerima anugerah tertinggi, Tabung Haji akan melakukan post mortem dan usaha tambah baik bagi operasi haji bagi tahun depan,” katanya.
Tegasnya, tumpuan baik pulih kepada kebajikan dan keselamatan jemaah haji Malaysia.
Sebagai contoh, katanya keadaan khemah di Mina yang perlu ditingkatkan lagi keselesaan.
“Insya-Allah pada tahun depan, Tabung Haji meneruskan komitmen, perkhidmatan lebih baik dan meneruskan dengan syarikat Masyair Al-Masyarik untuk memastikan jemaah kita selesa dan seterusnya mendapat haji mabrur,” katanya.
Majlis Malam Penutup Operasi Haji dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah pada setiap tahun sebaik selesai urusan haji.-Astro Awani