Kerajaan memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung kemalangan maut yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik, Perak, awal pagi tadi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, meminta orang ramai tidak membuat andaian atau ulasan kurang tepat di media sosial kerana ia akan mengganggu siasatan terhadap kes itu.
“Siasatan dibuat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 Seksyen 41(1). Kerana itu kita tunggu hasil siasatan berkaitan dan pastinya jabatan serta agensi berkaitan juga akan menjalankan siasatan.
“Ketika ini, dimaklumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), khususnya UPSI sedang mengurus perkara yang berkaitan khususnya soal kebajikan mangsa dan keluarga terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak mengesahkan pihaknya menerima laporan 15 individu maut dalam kemalangan yang membabitkan 48 mangsa.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof Dr Norkhalid Salimin ketika dihubungi berkata, kemalangan itu membabitkan 42 pelajar universiti berkenaan yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke kampus di Tanjung Malim menaiki bas sewa selepas cuti perayaan Aidiladha.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, pihaknya juga berkesempatan mendengar penerangan daripada pegawai perubatan Hospital Gerik mengenai situasi terkini kejadian berkenaan.
“Maka saya rakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai-pegawai perubatan kita yang bertungkus-lumus sejak awal pagi tadi.
“Sebahagian mangsa terbabit dibawa ke beberapa hospital iaitu Ipoh, Taiping termasuk Hospital Baling dan lain-lain untuk rawatan lanjut dan urusan berkaitan.
“Saya juga sempat bertemu beberapa keluarga mangsa yang terbabit. Saya amat bersimpati dan menzahirkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa.
“Pastinya didoakan supaya mereka diberikan kekuatan dan ketabahan serta sabar dalam menghadapi situasi yang amat berat ini,” katanya.-BH Online