IPOH: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sudah berbincang dengan Kementerian Pengangkutan bagi melakukan siasatan menyeluruh nahas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat, Gerik awal pagi tadi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata, semua pihak perlu memberi laluan kepada siasatan susulan yang dikendalikan oleh agensi di bawah Kementerian Pengangkutan bagi menyiasat nahas itu.
Justeru, beliau berkata, masih terlalu awal bagi membincangkan mengenai garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) bagi pelajar yang menyewa bas dan langkah keselamatan akan dikaji semula susulan kemalangan tragis di Gerik itu.
“Pada peringkat ini, kita tak perlu bincang perkara itu lagi. (kerana) yang itu saya sudah berbincang dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke pagi tadi.
“Kita serahkan kepada pihak (Kementerian Pengangkutan yang akan membuat siasatan susulan. Masih terlalu awal untuk membuat sebarang spekulasi, marilah kita dalam waktu duka ini, bersama-sama mendoakan semua mangsa yang cedera segera pulih,” katanya.
null
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat jenazah 13 mangsa yang sudah berada di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Baninun (HRPB), di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek; dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon.
Zambry diminta mengulas mengenai garis panduan serta SOP sewaan bas oleh pelajar universiti awal secara peribadi, susulan nahas itu berlaku ketika bas berkenaan yang membawa pelajar UPSI adalah inisiatif peribadi pelajar dan bukan program anjuran pihak universiti.
Terdahulu, Md Amin berkata, bas persiaran berkenaan disewa secara persendirian oleh pelajar sempena cuti Aidiladha dengan mereka yang menaikinya dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti di kampung halaman sekitar Terengganu.
Sementara itu, Zambry berkata, selain 15 mangsa terkorban dengan 13 daripadanya dihantar ke Jabatan Forensik HRPB manakala dua di Unit Forensik Hospital Gerik, nahas itu mengakibatkan dua cedera parah namun sudah stabil dan dirawat di HRPB, selain 29 mangsa cedera dirawat di Hospital Gerik, manakala empat mangsa dirawat di Hospital Baling, Kedah.
Katanya lagi, bantuan segera berjumlah RM2,000 disalurkan oleh KPT kepada keluarga pelajar yang maut dalam nahas itu manakala RM1,000 diberikan oleh pihak UPSI kepada waris semua mangsa termasuk mangsa yang cedera.
“Begitu juga kita sudah dapatkan pemakluman lain termasuk daripada bantuan pengebumian dan insurans perlindungan, bantuan zakat, dan bantuan kemalangan.
“Ini termasuk bantuan penginapan kepada waris dan semuanya itu akan diuruskan oleh UPSI,” katanya.
Dalam kejadian sekitar 1.10 pagi tadi, seramai 15 pelajar UPSI maut, manakala 27 pelajar lagi cedera selepas bas dinaiki mereka terlanggar belakang Perodua Alza sebelum hilang kawalan dan terbabas di Jalan Raya Timur- Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, bas persiaran itu disewa khas pelajar dan dalam perjalanan pulang dari Jertih, Terengganu menghala ke UPSI.-BH Online