KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi tumpuan kepada misi berorientasikan penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya dapat membangunkan keupayaan dalam sesetengah sektor bagi menghadapi impak krisis bekalan global.
Menterinya, Datuk Chang Lih Kang, berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat mingguan Majlis Sains Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Beliau berkata, krisis di Asia Barat memberi pencerahan kepada negara berhubung keperluan membangunkan teknologi sendiri.
“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada negara lain, terutama dalam bidang teknologi, sektor makanan dan perubatan.
“Maka, melalui mesyuarat mingguan semalam, kami akan memberi tumpuan kepada beberapa misi negara supaya kami melaksanakan misi berorientasikan R&D,” katanya selepas merasmikan Hari Istimewa Sains (HIS) 2026 di Pusat Sains Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya keperluan kerajaan membangunkan teknologi ketenteraan sendiri susulan konflik di Asia Barat.
Sementara itu, mengulas perkembangan program tenaga nuklear negara, Lih Kang berkata, program itu di bawah bidang kuasa MyPower Corporation sebagai organisasi pelaksana Program Tenaga Nuklear (NEPIO).
“Mereka (MyPower) sedang menjalankan kajian awal. MOSTI akan terbabit dalam keseluruhan proses pelaksanaan program berkenaan, namun program ini masih di peringkat kajian,” katanya. – BERNAMA
