KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Program Road to Gold (RTG) akan meneroka sukan-sukan baharu yang berpotensi untuk disenaraikan dalam program elit negara itu bagi merealisasikan sasaran memburu pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa RTG pada 19 Mei ini yang turut menyentuh soal bajet dan hala tuju program berkenaan.
“Kita harus melihat landskap sukan itu lebih luas lagi, kita tidak hanya terperangkap pada sukan yang sama. Kita ingin membuka lembaran yang lebih luas untuk sukan-sukan Malaysia ini kerana tujuan dan matlamat asal RTG itu adalah memperoleh emas pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Penajaan antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di sini, hari ini.
Ditanya kemungkinan sukan hoki kembali disenaraikan dalam RTG, Taufiq memaklumkan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Berdasarkan senarai sukan dan atlet 2025, hanya empat jenis sukan berada di bawah program RTG iaitu badminton, berbasikal trek, angkat berat dan skuasy.
Badminton memiliki senarai atlet paling ramai dengan 13 pemain, diikuti berbasikal trek (dua atlet), manakala angkat berat dan skuasy masing-masing mempunyai seorang wakil.
Sementara itu, Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal mengakui pihaknya bersikap realistik mengenai peluang hoki disenaraikan semula dalam RTG.
“Saya mahu bersikap praktikal dan realistik. Ketika ini hampir mustahil untuk kita memenangi emas Olimpik dalam hoki. Jadi, bantuan seperti penajaan TNB ini sudah cukup baik dan kami mahu bergerak selangkah demi selangkah,” katanya.
Hoki pernah disenaraikan dalam RTG dalam usaha untuk memburu tiket automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024 menerusi Sukan Asia Hangzhou 2022 tetapi digugurkan selepas gagal meraih pingat emas di temasya itu.-BH Online
