IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad gagal menahan sebak dan menitiskan air mata selepas menziarahi waris pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.
Saarani ketika ditemui media di perkarangan Jabatan Forensik hospital itu, berkata beliau berkongsi perasaan duka keluarga pelajar UPSI yang terbabit nahas di Jalan Raya Timur- Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik awal pagi tadi.
Beliau juga sempat bertanya khabar dengan beberapa waris yang hadir bagi membuat pengecaman kepada jenazah keluarga masing-masing.
“Kepada mangsa yang masih lagi berada di hospital untuk tujuan penyembuhan sama ada yang kritikal ataupun tidak, kita doakan supaya mereka akan mendapat kesembuhan dan segera pulih supaya dapat mereka meneruskan pengajian di UPSI.
“Kepada kaum keluarga yang lain, saya yakin akan terkesan peristiwa yang sedih ini di atas kehilangan anggota keluarga.
“Pihak UPSI ada menyediakan khidmat kaunseling. Jadi, kita harap mereka dapat menerima hakikat ini dan sama-sama menerimanya sebagai takdir Allah,” katanya.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut menyerahkan bantuan kewangan RM1,000 kepada waris pelajar bagi tujuan perbelanjaan dan penginapan sepanjang pengurusan jenazah.
“Kerajaan negeri sedia membantu segala perkara yang diperlukan, malah saya juga sudah minta supaya Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menyumbangkan khemah untuk membolehkan waris berteduh, selain makanan bungkus disediakan untuk waris dan anggota jabatan forensik.
“Jika tiba masanya jenazah ini perlu dibawa pulang (selepas proses bedah siasat selesai), UPSI menyediakan kenderaan jenazah.
“Terima kasih juga kepada Ketua Polis Negeri yang insya-Allah akan menguruskan kemudahan trafik supaya jenazah dapat sampai dengan selamat dan dikebumikan (di kampung masing-masing),” katanya.-BH Online