KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan komitmennya untuk memperkukuhkan kesinambungan pendidikan kepada murid dan pelajar sekolah terhadap bencana, sejajar dengan Kerangka Sendai 2030.
Kerangka Sendai adalah perjanjian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pengurangan risiko bencana.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah memperkukuh daya tahan sistem pendidikan terhadap bencana itu juga selaras dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
“Saya baru sahaja menyampaikan kenyataan negara untuk menentukan dan memperlihatkan komitmen kita mengikut Kerangka Sendai 2030, terhadap satu aspek penting iaitu kesinambungan pendidikan kepada murid dan pelajar sekolah ketika waktu bencana, terutamanya musim banjir.
“Antara langkah utama yang telah diambil adalah kesiap-siagaan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), di mana kebanyakan PPS itu menggunakan kawasan sekolah yang terletak di kawasan tinggi dan melepasi paras banjir.
“Dalam sesi itu, saya memaklumkan Malaysia membelanjakan RM135 juta untuk membina penempatan untuk mangsa banjir iaitu Pusat Pemindahan Kekal (PPKB) khususnya di kawasan persekitaran sekolah yang sering mengalami banjir.
“Peruntukan RM135 juta ini digunakan bagi membina dewan-dewan sebagai pusat pemindahan dengan kemudahan tandas, tempat memasak dan keperluan,” katanya.
Ahmad Zahid menyatakan komitmen Malaysia itu pada sidang media selepas sesi Meja Bulat Menteri bertemakan Keselamatan Sekolah sempena Platform Global untuk Pengurangan Risiko Bencana di Geneva, Switzerland, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Kelapan Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (8th GPDRR) pada persidangan dua hari di Geneva, Switzerland.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, beliau juga menjelaskan adalah tidak adil untuk sekolah yang digunakan sebagai PPS terpaksa menanggung kos pembaikan selepas bencana banjir berlaku, dalam sesi meja bulat berkenaan.
“Sekolah yang digunakan sebagai pusat pemindahan itu, tidak adil untuk sekolah kerana selepas waktu banjir, mereka terpaksa membelanjakan satu jumlah yang besar juga bagi memperbaiki kerosakan-kerosakan dan juga mempertingkatkan semula penggunaan peralatan di sekolah berkenaan,” katanya.
Dalam masa sama, Ahmad Zahid turut menzahirkan penghargaan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang turut membantu pelajar dan mangsa banjir ketika musim bencana.
“Malaysia juga telah menyatakan kerjasama yang kita perolehi daripada NGO dan GLC dalam waktu bencana di mana mereka berada di kawasan penempatan sementara, terutamanya di sekolah-sekolah untuk membantu pelajar-pelajar. Pembabitan mereka ini berjumlah tidak kurang daripada 44,000,” katanya.
Beliau berkata, langkah itu menunjukkan bahawa kesiapsiagaan yang dilaksanakan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selari dengan dasar kebangsaan iaitu Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=430&adk=1759374627&adf=2803648221&pi=t.aa~a.1654364369~i.32~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1749198986&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×430&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F06%2F1405218%2Fmalaysia-perkukuh-daya-tahan-pendidikan-terhadap-bencana-tpm&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1749198990362&bpp=2&bdt=3591&idt=2&shv=r20250605&mjsv=m202506050101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D2118ce8289002892%3AT%3D1749198720%3ART%3D1749198720%3AS%3DALNI_MZkZPzbSGTbqbCW7PtdP9RuRTKLkg&gpic=UID%3D00001120984596c3%3AT%3D1749198720%3ART%3D1749198720%3AS%3DALNI_MZgfzqqB_9WSxZsiO0rClNkbuYx8w&eo_id_str=ID%3D0fe09fc0e213b71f%3AT%3D1749198720%3ART%3D1749198720%3AS%3DAA-AfjYWL7H64lvyIAYYxWQgsSbR&prev_fmts=0x0%2C430x430&nras=3&correlator=2872765756263&frm=20&pv=1&u_tz=180&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=3034&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=31084128%2C42531705%2C95353387%2C31092882%2C95362800%2C95362802&oid=2&pvsid=2383864904968332&tmod=469046029&uas=1&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=3&uci=a!3&btvi=2&fsb=1&dtd=4448
“Saya maklumkan kepada persidangan hari ini bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh NADMA selain daripada mengikut Kerangka Sendai 2030, kita juga mempunyai dasar khusus bagi menangani masalah bencana ini, iaitu dasar yang terpakai sehingga tahun 2030 juga,” katanya.
Ahmad Zahid berkataz kesiap-siagaan NADMA bukan sahaja tertumpu kepada musim Monsun Timur Laut (MTL) di Pantai Timur dan beberapa kawasan lain, malah juga kepada musim Monsun Barat Daya, yang berisiko mengakibatkan kebakaran akibat cuaca panas dan kering.
“Kita juga menghadapi musim Monsun Barat Daya apabila musim ini tiba, soal kepanasan dan kebakaran akan berlaku di kawasan-kawasan kering. Maka saya telah maklumkan bahawa kita juga mempunyai ‘tubewell’ yang kita gunakan dan sedia disediakan oleh jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah,” katanya.-BH Online