SEPANG: Kebanyakan daripada 5,000 kakitangan Petrolium Nasional Bhd (PETRONAS) yang akan dikurangkan secara berperingkat sepanjang tahun depan adalah berstatus kontrak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kebanyakannya kontrak,” katanya ringkas ketika diminta mengulas mengenai keputusan dan langkah diambil oleh syarikat minyak dan gas negara itu dalam melaksanakan pengurangan kakitangannya.
Perdana Menteri ditemui media selepas selesai solat Jumaat di Surau Al-Ikhwan Jalan Pinggiran Putra di sini, sebentar tadi. Terdahulu, beliau berkesempatan makan tengahari disebuah restoran berhampiran surau berkenaanbersama pengunjung.
Semalam, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz menjelaskan keputusan itu diambil selepas syarikat berkenaan berdepan cabaran operasi yang sukar terutamanya disebabkan kejatuhan harga minyak mentah.
Minyak penanda aras global itu kini didagangkan hampir AS$65 (RM274.79) turun kira-kira 13 peratus tahun ini, berikutan ketegangan perdagangan yang menjejaskan pertumbuhan global serta usaha OPEC+ untuk memulihkan pengeluaran.
Pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, PETRONAS mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM55.1 bilion, turun 31.7 peratus daripada RM80.7 bilion setahun sebelumnya berikutan purata harga direalisasi yang lebih rendah dan pelarasan cukai pada 2023.-BH Online