PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim bertakbir raya bersama jemaah di Surau Al-Ikhwan, Jalan Pinggiran Putra dekat sini, hari ini, sempena Aidiladha yang akan disambut esok.
Laungan takbir dipimpin Imam Mustafa Kamal Abdullah itu diadakan selepas solat Jumaat, dengan disertai lebih 500 jemaah.
Perdana Menteri bersama jemaah turut mendengar khutbah bertajuk ‘Falsafah Arafah’ yang disampaikan imam berkenaan.
Terdahulu, Anwar yang lengkap berbaju Melayu berwarna kelabu, tiba di masjid kira-kira jam 1 tengah hari selepas menjamu selera di Restoran Pak Zain Patin di Jalan Kampung Orang Asli Bukit Dugang, Dengkil dekat sini.
Beliau turut menyantuni pekerja restoran di bahagian dapur serta pelanggan yang sedang menjamu selera.
Turut hadir ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.-BH Online