KUALA LUMPUR: Orang Melayu perlu mempunyai kebolehsaingan, ilmu dan kemahiran unggul supaya menjadi bangsa besar, hebat, dihormati dan disegani, tegas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau dalam hantaran di laman X menegaskan permainan politik yang berasaskan emosi semata perlu dihentikan untuk kemajuan orang Melayu.
“Kalau kita ingin memajukan orang Melayu, kita perlu berhenti bermain politik yang berasaskan emosi semata-mata.
“Semua ini (permainan politik berasaskan emosi) menjerumuskan bangsa Melayu ke lembah kelemahan dan kemunduran.
“Justeru, kita perlu berpolitik secara rasional dan bersandarkan kepada nilai terbaik,” katanya.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, sentimentalisme tidak akan memenangkan orang Melayu dalam persaingan teknologi, tarif, kemajuan ilmu, mahupun perniagaan masa hadapan.
“Orang Melayu mesti mempunyai kebolehsaingan, ilmu dan kemahiran yang unggul.
“Hanya dengan cara ini, kita berupaya menjadi bangsa yang besar dan hebat, serta dihormati dan disegani.
“Kepada semua orang Melayu, tiada siapa yang akan mengusik hak dan kepentingan bangsa kita.
“Ia sudah termaktub dan terjamin sekian lama dalam Perlembagaan dan dilindungi oleh Raja-Raja Melayu yang bijaksana,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menyifatkan ancaman terbesar bangsa Melayu adalah pemikiran tua, mundur dan lapuk segelintir pemimpin Melayu yang tidak sedar bahawa Generasi X, Y, Z dan Alpha sudah muncul.
“Mereka ini tidak dengan mudahnya terpedaya dengan politik emosi yang dibawa semata-mata untuk mendapatkan kuasa,” katanya.-BH Online