Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGI: Isu sosial seperti perkahwinan kanak-kanak, kehamilan remaja, keganasan rumah tangga, dan konflik antara generasi tidak dapat diselesaikan tanpa pembabitan aktif masyarakat dan pembentukan pendidikan karakter.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata terdapat keperluan mendesak untuk merombak pendekatan pendidikan supaya lebih menyeluruh, merangkumi aspek nilai, akhlak, dan pembentukan peribadi pelajar selain memberi penekanan terhadap peranan ibu bapa dan komuniti dalam mendidik anak-anak.

Beliau turut menggariskan kebimbangan terhadap beberapa statistik sosial yang tidak menunjukkan perubahan positif, terutamanya berkaitan kadar perceraian yang kekal tinggi, kes wanita maut akibat keganasan rumah tangga, dan isu ketidakharmonian dalam keluarga membabitkan warga emas serta kanak-kanak.

“Rumah tidak lagi selamat untuk wanita apabila ini berlaku dalam rumah dan wanita mati di tangan pasangan masing-masing,” katanya ketika berucap pada program Pesona Inspirasi Keluarga MADANI di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut menekankan kepentingan modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) dalam menangani isu membabitkan remaja dan kanak-kanak.

“PEERS adalah modul yang dilaksanakan untuk menangani isu yang berkait dengan reproduktif dan juga pendidikan seksual.

“Kita tidak boleh terus bertanya sama ada pendidikan seksual itu perlu atau tidak kerana kita sudah berada dalam krisis sosial dan PEERS adalah antara jalan penyelesaian yang kita ada. 

“Malah PEERS ini ada dokumen, ia boleh berubah mengikut keperluan, kehendak, budaya dan agama. null

Isu berkait anak-anak ini mesti ditangani dengan segera,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya program keibubapaan (parenting) diperluaskan serta diterajui oleh komuniti dengan pembabitan lebih besar daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan institusi akademik.

“Tiada siapa yang lahir terus tahu menjadi ibu bapa. Kita perlu bimbingan dan masyarakat mesti bersedia untuk membantu. 

“Mungkin bila anak dah ramai sikit, baru kita tahu menjadi seorang ibu bapa. Namun saya rasakan setiap anak itu akan beri pengalaman yang berbeza dan disebabkan itu kita perlukan bimbingan,” katanya. 

Fadhlina dalam ucapannya turut mengangkat inisiatif Mak-Mak Gajah iaitu gerakan komuniti yang bangkit untuk membantu memberikan pendidikan terbaik kepada kanak-kanak di negara ini selepas insiden tragik seekor gajah betina kehilangan anaknya akibat kemalangan jalan raya. 

“Atas semangat untuk melindungi dan lakukan yang terbaik kepada anak-anak, pasukan ibu ini menggelarkan mereka sebagai Mak Mak Gajah. 

“Kadang-kadang, kita tidak perlukan struktur besar. Cukup dengan semangat kolektif. Gerakan mak-mak gajah ini boleh jadi inspirasi dan kesan kepada masyarakat,” katanya.-BH Online