Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan RM516 juta kepada 27,289 usahawan sejak Program Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dilancarkan pada 2008. 

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata dalam empat bulan pertama tahun ini, RM16.4 juta disalurkan kepada 648 usahawan melalui program itu.

“Pada Januari saya mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi Program SPUMI dan SPUMI Goes Big, jumlah tertinggi sejak program ini diperkenalkan pada 2008.

“Secara keseluruhan sejak penubuhannya pada 1998 hingga April 2025, TEKUN Nasional meluluskan pembiayaan berjumlah RM10.3 bilion kepada lebih 600,000 usahawan di seluruh negara,” katanya.

Hari ini beliau turut mengumumkan pelancaran inisiatif baharu, iaitu Empowering Indian Entrepreneurs (EIP) iaitu satu program latihan pengurusan perniagaan yang dirangka khusus untuk usahawan India TEKUN. 

Katanya, program berkenaan bertujuan memberi pendedahan awal, latihan asas keusahawanan serta memperkenalkan pelbagai kemudahan pembiayaan TEKUN Nasional kepada usahawan kecil dan mikro, khususnya komuniti India.-BH Online