GEORGETOWN: Usaha Jabatan Penjara memanfaatkan potensi banduan yang kini dijenamakan sebagai ‘prospek’ melalui kerjasama dengan sektor swasta menjadikan institusi itu sebagai entiti berdaya saing yang mampu menjana pendapatan dan melatih tenaga kerja berkemahiran.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata setakat ini sebanyak 1,225 syarikat sudah mengambil bahagian dalam program pemulihan tahanan yang dirangka kementeriannya melalui inisiatif dikenali sebagai Step-Up yang bertujuan memperkukuh pemulihan banduan melalui sokongan masyarakat dan kerjasama industri.
“Inisiatif melalui kerjasama dengan sektor swasta bukan sahaja memberi kemahiran kepada prospek tetapi berjaya menjadikan beberapa institusi penjara sebagai entiti berdaya saing yang menjana pendapatan dan melatih tenaga kerja berkemahiran.
“Dalam tempoh 235 tahun, institusi penjara di Malaysia mengalami evolusi besar iaitu dapat visualisasikan daripada sistem hukuman berasaskan kepatuhan kepada sistem yang lebih reformatif dan pemulihan.
“Kini Jabatan Penjara bukan hanya berfungsi sebagai tempat tahanan tetapi sebagai pusat pembentukan semula insan yang terbentuk melalui penerapan dari segi kerohanian dan jasmani agar tidak mengulangi kesalahan serta dapat berbakti kepada masyarakat selepas menjalani hukuman,” katanya kepada media pada Sambutan Hari Penjara ke-235 di sini, hari ini.
Turut hadir merasmikan majlis berkenaan ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Saifuddin berkata, program seperti Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) termasuk Perintah Kehadiran Wajib (PKW), Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) dan ‘Corporate Smart Internship’ (CSI) terbukti berjaya mengurangkan kadar pengulangan jenayah dan membina jati diri baharu kepada prospek.
Beliau berkata, melalui inisiatif itu juga Jabatan Penjara bersedia menyasarkan 10,000 orang prospek tahun ini untuk memasuki industri kritikal iaitu sektor pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pembinaan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di sektor-sektor tertentu.
“Ada yang ambil 10, 30 hingga 100 prospek kami untuk bekerja. Dalam hal ini kos (pengambilan pekerja asing) seperti levi, visa boleh dikurangkan pada masa yang sama prospek yang mempunyai pendapatan ini boleh membantu keluarga masing-masing,” katanya.
Saifuddin memaklumkan, Jabatan Penjara turut melaksanakan pembangunan infrastruktur penjara baharu di samping menaik taraf kemudahan sedia ada dengan ciri lebih kondusif berasaskan pembelajaran, kesihatan mental dan fizikal tahanan.
Beliau berkata, usaha itu dapat dilihat dengan penambahbaikan sistem bersepadu iaitu Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) yang sehingga kini telah digunakan oleh 18 buah institusi penjara dan akan disebar penggunaannya seluruh negara.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, daripada 43 penjara di seluruh negara terdapat antara lima hingga enam penjara yang dikenal pasti dalam keadaan uzur termasuk di Taiping, Perak; Seremban, Negeri Sembilan dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai kekangan dalam soal peruntukan daripada Kementerian Kewangan dan perlu bersaing dengan permohonan dari Kementerian lain seperti Kementerian Pendidikan (KPM) misalnya membabitkan bangunan sekolah uzur dan sebagainya.
“Antara isu ketara yang berlaku di penjara usang ialah kemudahan asas seperti penggunaan tandas curah yang tidak lagi sesuai digunakan pada zaman ini. Walaupun kecil bilangannya tapi tetap ada tandas uzur yang dirasakan tidak manusiawi.
“Justeru, saya yang mempengerusikan Jawatankuasa Penswastaan Projek KDN akan turut meneliti bagaimana pembabitan swasta dapat membangunkan tanah milik KDN yang diperuntukkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan untuk pembinaan penjara baharu berdasarkan penilaian pembangunan tanah,” katanya.-BH Online