Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengatur enam strategi bagi memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara untuk jangka pendek serta sederhana, termasuk bagi mendepani impak tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata strategi pertama, selain penyelarasan dasar berkaitan perdagangan melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC), kerajaan juga memantau petunjuk utama ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata bagi strategi kedua, rundingan penyelesaian tarif timbal balas dengan AS akan diteruskan dan menambah baik hubungan perdagangan serta pelaburan dua hala.

“Ketiga, membantu pengeksport terjejas khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala keempat, menggalakkan kerjasama serantau serta pasaran baharu,” katanya ketika menyampaikan penerangan pada sesi mesyuarat khas berkenaan isu tarif Amerika Syarikat (AS) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, strategi kelima pula ialah mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan termasuk untuk pelaburan serta yang terakhir, meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi MADANI terutama dalam memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi negara.-BH Online