KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah satu manifestasi jelas sokongan rakyat kepada Kerajaan MADANI, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN itu berkata, kemenangan itu menjadi bukti jelas bahawa rakyat semakin bijak menilai dan mereka menolak politik kebencian, memilih kestabilan, kemajuan serta kepimpinan yang berwibawa.
“Ia juga isyarat kukuh bahawa Kerajaan Perpaduan diterima kerana mampu mengurus tadbir negeri dan negara dengan baik, berasaskan prinsip perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“Kemenangan itu juga menjadi bukti kecekalan dan semangat juang seluruh jentera BN dan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya di bawah pimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, beliau bersyukur atas kemenangan berkenaan yang disifatkan sebagai kesinambungan legasi kecemerlangan Allahyarham Ishsam Shahruddin, bekas penyandang kerusi DUN terbabit.
“Lebih manis lagi, saya dimaklumkan daripada 11 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang tewas kepada pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, 10 daripadanya kini kembali semula ke pangkuan BN.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih saya rakamkan kepada semua para pengundi di Ayer Kuning yang sudah melaksanakan amanah dan tanggungjawab demokrasi mereka hari ini,” katanya.
BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning apabila calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir menang dengan majoriti 5,006 undi dalam saingan tiga penjuru.
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, yang lebih dikenali sebagai Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berpesan kepada Mohamad Yusri supaya menggalas amanah besar yang diberikan dengan penuh keikhlasan, rendah hati dan komitmen tinggi untuk terus memajukan Ayer Kuning.-BH Online