Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Semikonduktor Amerika Syarikat (SIA) menyatakan komitmen berterusan syarikat semikonduktor yang diwakilinya untuk terus melabur di Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata meskipun dunia kini berdepan cabaran geopolitik dan tekanan terhadap rantaian bekalan global, syarikat di bawah naungan SIA kekal beriltizam mengembangkan operasi mereka di negara ini.

“Sepanjang lawatan kerja rasmi dua hari ke Washington, saya mengadakan beberapa pertemuan strategik dengan pemimpin industri dan penggubal dasar Amerika Syarikat, termasuk sesi makan malam bersama wakil SIA.

“Saya amat menghargai komitmen berterusan syarikat semikonduktor utama yang diwakili SIA untuk terus melabur dan mengembangkan operasi mereka di Malaysia, biarpun dunia sedang bergelut dengan cabaran geopolitik dan tekanan rantaian bekalan global,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Tengku Zafrul berkata, pertemuan itu memperkukuh misi Malaysia untuk muncul sebagai peserta global dalam industri semikonduktor dan teknologi tinggi.

Katanya, usaha itu juga seiring dengan pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Kami terus berusaha menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan yang mampan, progresif dan berpaksikan kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan rancangan mengenakan tarif baharu ke atas import semikonduktor ke negara itu.

Menurut kenyataan Trump, tarif berkenaan akan bermula pada kadar 25 peratus dan berpotensi dinaikkan dalam tempoh setahun, sebagai sebahagian strategi mengurangkan kebergantungan terhadap produk luar negara, khususnya dari China, serta menggalakkan pelaburan dalam industri pembuatan cip domestik.

Trump turut memaklumkan bahawa syarikat yang mempunyai kilang pengeluaran di Amerika Syarikat mungkin dikecualikan daripada tarif berkenaan, sekali gus memberi kelebihan kepada syarikat yang mengalihkan operasi mereka ke negara itu.

Selain semikonduktor, tarif 25 peratus turut dikenakan ke atas import automotif dan produk farmaseutikal.

Bagaimanapun, walaupun langkah itu bertujuan mempercepatkan pembinaan fasiliti pembuatan cip domestik, proses pembinaannya adalah kompleks dan mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Ini bermakna, dalam jangka masa pendek, Amerika Syarikat tetap perlu bergantung kepada bekalan luar negara, dengan tarif berkenaan berpotensi menyebabkan gangguan sementara kepada rantaian bekalan global.

Sementara itu, Tengku Zafrul turut berkongsi mengenai pertemuan produktif bersama Majlis Perniagaan AS-ASEAN dalam program seterusnya.

“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia amat menghargai hubungan kukuh yang terjalin sekian lama antara ASEAN dan Amerika Syarikat.

“Hubungan saling menguntungkan ini banyak membawa manfaat kepada rantau kita. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, saya yakin dengan semangat kerjasama erat, kita mampu mengharungi masa sukar ini bersama.

“Kita akan terus memperkukuh kerjasama ekonomi dan perdagangan antara ASEAN dan Amerika Syarikat demi kemakmuran bersama,” katanya.-BH Online