KULIM: Seramai 28 pegawai berpangkat Komisioner Polis (CP) yang memegang jawatan kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak dipertimbang untuk mengisi jawatan Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses pemilihan akan bermula di peringkat Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) sebelum dipersembahkan untuk mendapat pandangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Beliau berkata, proses berkenaan dijangka dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan pengumuman pelantikan akan dibuat kepada umum selepas semua proses selesai.
“Kita akan umumkan dalam masa terdekat selepas prosesnya bermula dengan SPP yang saya pengerusikan bersama jawatankuasa lain sebelum dibawa bagi mendapatkan pandangan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita sudah menamakan calon mengikut kekosongan susulan persaraan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay. Sehari dua ini kita akan umumkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Lawatan Pemantauan Projek Membina dan Menyiapkan Jalan Kampung Badlishah-Ayer Putih, Junjong, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, semua 28 pegawai berkenaan berada dalam kelompok yang layak dipertimbang bagi mengisi jawatan itu susulan persaraan Ayob Khan.
Katanya, nama semua individu terbabit turut dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk penilaian lanjut berdasarkan kriteria ditetapkan.
“Semua layak. Dalam polis ada 25 orang CP dan ditambah tiga lagi CP yang dilantik atas kapasiti khas Ketua Polis Negara. Jadi 28, semua yang berada dalam kelompok itulah yang nama kita persembah kepada Tuanku.
“Proses ini adalah mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki kita berbuat demikian dan itu sudah kita selesaikan,” katanya. -BH Online

