GEORGETOWN: Malaysia memilih melakukan transformasi berani dalam bidang pendidikan negara untuk berdepan kepesatan kebangkitan kecerdasan buatan (AI), Revolusi Industri 4.0 yang memacu perubahan pantas landskap pekerjaan global.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata populasi ASEAN pada hari ini melebihi 670 juta, dengan lebih separuh daripadanya berusia bawah 35 tahun menjadikan pembangunan pendidikan dan kemahiran sebagai keutamaan serantau.
“Kelebihan demografi ini adalah aset unik namun boleh menjadi liabiliti jika kita tidak bertindak secara tegas dan di seluruh rantau ini, negara-negara sedang berdepan jurang yang semakin melebar antara apa yang diajar di sekolah dan apa yang diperlukan pada masa depan.
“Kita berada di persimpangan, pilihannya adalah antara penyesuaian secara minimum atau transformasi yang berani dan Malaysia memilih yang kedua,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 yang bertema Membentuk Masa Depan ASEAN melalui Kemahiran dan Inovasi hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi The Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL) yang juga Timbalan Pengerusi KSI Strategic Institute For Asia Asia Pacific, Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther dan Presiden Persatuan Kolej Universiti Swasta Malaysia (MAPCU), Datuk Parmjit Singh.
Fadhlina berkata, sektor pendidikan harus beralih daripada penyampaian ilmu secara pasif kepada pemupukan kemahiran aktif, kreativiti, pemikiran kritikal dan pembelajaran sepanjang hayat justeru Malaysia memberi tumpuan kepada tiga bidang utama dalam usaha menyelaraskan sistem pendidikan dengan Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN 2021–2025.
Menurutnya, bidang pertama membabitkan reformasi kurikulum dan peningkatan kecekapan digital, termasuk pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang kini menekankan kemahiran digital, penyelesaian masalah serta pendidikan berteraskan nilai.
“Usaha tersebut turut disokong oleh Dasar Pendidikan Digital 2021–2025, yang memberi tumpuan kepada capaian sejagat terhadap infrastruktur pembelajaran digital melalui platform seperti DELIMa.
“Bidang kedua meliputi pembangunan profesional guru menerusi kerjasama strategik dengan ‘Google for Education’, UNESCO dan universiti tempatan degan lebih 100,000 guru sedang dilatih semula dalam pedagogi digital serta penggunaan alat pengajaran abad ke-21,” katanya.
Bidang ketiga pula menyaksikan kerjasama yang lebih erat antara pendidikan TVET dan sektor industri, khususnya menerusi Agenda Pemerkasaan TVET Negara yang membabitkan pembangunan latihan modular berteraskan keperluan industri.
Menurutnya, sebagai contoh, di Johor dan Pulau Pinang, sektor elektrik dan elektronik (E&E) bekerjasama dengan politeknik dan kolej vokasional bagi merangka laluan TVET yang fokus kepada kemahiran dalam bidang semikonduktor.
Perkembangan pesat AI, robotik dan bioteknologi bukanlah satu fenomena masa depan kerana ia sedang mengubah pasaran pekerjaan ASEAN sekarang dan menurut Forum Ekonomi Dunia lebih 75 peratus majikan global bercadang menggunakan teknologi AI menjelang 2027.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=358&adk=1983910584&adf=3931165298&pi=t.aa~a.1654364369~i.27~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1745209127&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×358&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fberita%2Fnasional%2F2025%2F04%2F1387124%2Ftransformasi-berani-pendidikan-untuk-berdepan-perubahan-landskap&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1745209129254&bpp=2&bdt=1296&idt=2&shv=r20250417&mjsv=m202504150101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3Db4fe73d2db99c50e%3AT%3D1745147970%3ART%3D1745209129%3AS%3DALNI_MZ087ROXBZImUh40KPggZVHPTNKKw&gpic=UID%3D000010a7b704e9f2%3AT%3D1745147970%3ART%3D1745209129%3AS%3DALNI_MYfa9kCxkmPPK3zUcDJ7Swg0GX6ew&eo_id_str=ID%3D3e20fe42e6682bf5%3AT%3D1745147970%3ART%3D1745209129%3AS%3DAA-AfjZPhglRcOq1xlnoRR7gjlUl&prev_fmts=0x0&nras=2&correlator=5782508850996&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=2609&biw=430&bih=731&scr_x=0&scr_y=0&eid=95357427%2C95355972%2C95355974%2C95353420%2C95357877%2C95356809%2C95357715&oid=2&pvsid=4024015574001314&tmod=2073579034&uas=1&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C731%2C430%2C731&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=7&uci=a!7&btvi=1&fsb=1&dtd=6
“Malaysia telah mengambil langkah awal untuk bersiap sedia dengan Peta Jalan AI Negara menggariskan bagaimana AI akan diperkenalkan dalam pendidikan bukan sekadar kandungan tetapi sebagai pemudah cara pembelajaran.
“Sebagai contoh, di sekolah-sekolah rintis terpilih, platform pembelajaran berasaskan AI sedang digunakan untuk memperibadikan pembelajaran, mengenal pasti awal pelajar berisiko tercicir dan menawarkan intervensi khusus.
“Selain itu, kita memperluas inisiatif STEM seperti #MySTEMAmbassadors dan STEM4ALL yang menyasarkan pelajar luar bandar dan kurang berkemampuan. Lebih 200,000 pelajar telah menyertai kem boot STEM dan pertandingan robotik tahun lalu,” katanya.
Tambahnya, sistem pendidikan dwibahasa Malaysia telah lama mengintegrasikan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan kini Malaysia memperluaskan pilihan elektif kepada Mandarin, Tamil, dan bahasa-bahasa ASEAN seperti Thai, Khmer dan Vietnam demi memperkukuh kerjasama intra-ASEAN.
“Kekuatan ASEAN terletak pada kepelbagaiannya daripada segi budaya, bahasa dan tradisi. Untuk memanfaatkannya, kita mesti memastikan generasi muda kita bersifat berbilang bahasa, mudah menyesuaikan diri, dan peka budaya.
“Pendidikan yang kita sediakan mesti melangkaui soal pekerjaan selain harus membentuk nilai, empati, dan matlamat hidup,” katanya.-BH Online