KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang meneliti kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkaitan dakwaan kemenangan politik lebih utama daripada menunaikan ibadah umrah dan haji.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata penelitian itu dilakukan bersama Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan pihak berkuasa berkaitan.
“Langkah ini diambil bagi memastikan umat Islam memahami dengan jelas kedudukan ibadah umrah dan haji dalam Islam serta menghayatinya berdasarkan panduan syarak dan tidak menafsirkan kenyataan itu secara salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, JAKIM mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan menyentuh hal berkaitan agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
BH semalam melaporkan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang memberi ‘signal’ supaya masyarakat Islam di negara ini mengutamakan kemenangan politik, selain perlu menangguhkan hasrat menunaikan umrah dan haji.
Beliau dilaporkan berkata ketetapan berkenaan dibuat dengan mengambil ibrah peristiwa Rasulullah SAW dihalang melaksanakan umrah hingga termeterainya perjanjian Hudaibiyah.
Abdul Hadi turut mendakwa, kemenangan politik tidak boleh ditangguhkan dan Islam perlu berkuasa, seiring firman Allah yang mahu dunia diperintah menerusi ajaran Islam.
Beliau mengakui umat Islam ketika ini tidak mengamalkan pendekatan berkenaan, sebaliknya lebih memilih menunaikan umrah dan haji berbanding mendapatkan kemenangan politik.-BH Online