PUTRAJAYA: Seramai 274 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) daripada pelbagai bidang akan bertugas sebagai petugas haji (perubatan) di Arab Saudi bagi menyokong keperluan kesihatan jemaah haji sepanjang musim 1446H/2025M.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata jumlah itu mencukupi bagi menampung jumlah bakal jemaah haji seramai 31,600 orang.
Malah, katanya, jumlah terbabit juga dibuat berdasarkan keperluan dan pengalaman pihak pengurusan.
“Jumlah ini mencukupi untuk menjaga jemaah haji nanti, malah ia menunjukkan tren penurunan berbanding tahun lalu seramai 279 dan seramai 296 pada tahun 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi KKM Bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M di Dewan Serbaguna KKM di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KKM, Datuk Zahrul Hakim Abdullah dan Ketua Jabatan Haji Lembaga Tabung Haji, Mohd Hisham Harun.
Dr Dzulkefly berkata, jumlah penurunan itu juga susulan pelaksanaan sistem International Patient Summary (IPS) melalui aplikasi MySejahtera sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan kesihatan jemaah.
Katanya, maklumat kesihatan seperti sejarah perubatan, rekod ubat dan alahan kini diintegrasikan secara langsung dengan sistem pengurusan Tabung Haji dan bagi musim haji 2025 dan proses itu didigitalkan sepenuhnya.
“Penggunaan Kod QR Rekod Kesihatan Haji membolehkan maklumat kesihatan jemaah dikongsi secara selamat dan efisien dengan fasiliti kesihatan di Arab Saudi, termasuk pasukan perubatan Arab Saudi
sendiri.
“Malah, sistem ini diterima baik kerajaan Arab Saudi kerana mereka boleh mengakses terus rekod kesihatan jemaah yang lengkap, sekali gus membolehkan rawatan diberikan dengan cepat,” katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai cabaran kesihatan musim haji kali ini, beliau berkata, cuaca panas dijangka menjadi cabaran utama sama seperti musim haji tahun lalu apabila suhu mencecah sehingga 52 darjah selsius.
“Bakal jemaah haji terutama pasukan petugas perlu mengelakkan daripada terdedah kepada cuaca panas bagi menghindari daripada keletihan haba.
“Paling penting adalah memastikan mendapatkan air yang mencukupi dalam badan dan segera mendapatkan rawatan jika berlaku sebarang masalah kesihatan,” katanya.-BH Online