Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pertemuan Malaysia dengan perwakilan Majlis Perniagaan Kesatuan Eropah-ASEAN (EU-ABC) dan Majlis Perniagaan Amerika Syarikat-ASEAN (AS-ABC) semalam memberi tumpuan kepada inisiatif baharu yang mampu melonjakkan perdagangan, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau ASEAN.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata perbincangan itu turut mengenal pasti pelbagai isu yang membelenggu pelabur asing, selain membincangkan kaedah terbaik bagi membantu mereka mengatasi cabaran berkenaan.

“Perkara ini akan membantu kerajaan merangka tindakan sewajarnya bagi menyokong pertumbuhan perniagaan mereka di sini.

“Perbincangan yang berlangsung sangat konstruktif dengan banyak idea baharu dikemukakan untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN,” katanya kepada *Bernama* selepas menghadiri sesi pertemuan dua hala berasingan itu, semalam.

Beliau berkata, Malaysia turut mengambil peluang untuk mendapatkan sokongan daripada AS-ABC dalam usaha mencari penyelesaian terhadap tarif yang dikenakan oleh Washington.

Amir Hamzah turut menyatakan harapan agar satu kesepakatan dapat dicapai dalam kalangan negara anggota ASEAN menjelang tiga mesyuarat penting hari ini bersama AS-ABC, EU-ABC dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ABAC).

“Kita berharap dapat mencapai persetujuan yang membolehkan kerjasama dan perdagangan antara industri serantau serta dengan rakan antarabangsa dapat terus diperkukuh.

“Idea seperti memperluas perdagangan intra-ASEAN merupakan langkah strategik bagi membina operasi pasaran rentas sempadan yang mampan. Justeru, saya berharap kita akan memperoleh hasil yang positif dan dipersetujui bersama oleh semua pihak,” katanya.

Mesyuarat yang bakal dipengerusikan oleh beliau akan memberi tumpuan khusus kepada isu-isu kewangan yang menjadi teras dalam memperkukuh daya tarikan Asia Tenggara sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan utama.

Ia juga penting dalam merangka langkah proaktif bagi mengurangkan kesan negatif daripada pengumuman tarif baharu Amerika Syarikat, yang dijangka memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi serantau.— BERNAMA