Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUANTAN: Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nazri Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Surat pelantikan itu diserahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan dikongsikan di Facebook rasminya petang tadi.

“Sebentar tadi saya menyerahkan surat pelantikan kepada Datuk Nazri Abu Bakar sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang baharu berkuat kuasa semalam (8 April).

“Saya mengucapkan tahniah di atas pelantikan ini dan selamat menjalankan tugas yang telah diamanahkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Nazri menggantikan Datuk Seri Zulkifli Yaacob yang bersara wajib selepas berkhidmat selama 36 tahun.

Nazri bermula sebagai Penolong Pegawai Daerah (Tanah) di Pejabat Daerah Jerantut pada 1 Ogos 1989.

Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi hantaran di Facebook berkata, pelantikan itu adalah satu pengiktirafan terhadap kepimpinan, dedikasi dan integriti terutama sepanjang berkhidmat sebagai Pegawai Kewangan Pahang sebelum ini.

“Saya percaya dengan pengalaman dan komitmen beliau, pentadbiran kerajaan negeri akan terus berfungsi dengan cekap, berkesan dan telus demi kesejahteraan rakyat Pahang.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas. Semoga segala tugas yang dilaksanakan mendapat keberkatan dan kejayaan,” katanya.

Istiadat Pengurniaan Surat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan Setiausaha Kerajaan Pahang akan berlangsung di Istana Abdulaziz di sini, pagi esok.-BH Online