KAJANG: Malaysia bersedia untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) berhubung tarif timbal balik 24 peratus bakal dikenakan ke atas eksport negara ini yang diumumkan Presiden Donald Trump, kelmarin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau ada menghubungi rakan sejawatnya di beberapa negara ASEAN yang lain untuk terbabit sama dalam rundingan berkenaan.
“Pertama, kita memang terkesan juga sedikit walaupun kadar (tarif) tinggi tetapi rendah daripada beberapa negara jiran (lain).
“Sebab itu kita mengambil keputusan untuk mengadakan rundingan dengan rakan-rakan saya. Saya sudah menghubungi (Perdana Menteri) Thailand dan sebentar tadi Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
“Sekejap lagi dengan Presiden Filipina (Ferdinand Marcos Jr) dan selepas itu (Perdana Menteri) Singapura (Lawrence Wong).
“Ia supaya ada satu kesepakatan mengenai bagaimana kita menjawab dan menuntut agar ada prinsip keadilan dalam urusan perdagangan antara negara-negara luar, termasuk ASEAN, dengan AS,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Prima Saujana, di sini, hari ini.
Kelmarin, Trump mengumumkan AS akan memperkenalkan tarif asas 10 peratus kepada semua negara dan duti lebih tinggi membabitkan beberapa negara, termasuk Malaysia.
Tarif timbal balik AS yang menyasarkan lebih 180 negara itu bagaimanapun tidak tertakluk ke atas Kanada dan Mexico, yang sebelum ini sudahpun dikenakan penalti oleh Trump bagi menekan mereka agar mengambil tindakan lebih tegas terhadap migrasi serta penyeludupan fentanyl haram merentasi sempadan.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia dikenakan tarif timbal balik 24 peratus termasuk kadar asas, manakala negara serantau seperti Kemboja pada 49 peratus, Vietnam (46 peratus), Thailand (36 peratus), Indonesia (32 peratus) dan Singapura (10 peratus).-BH Online