Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan memastikan keperluan perubatan dan kesihatan mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS), berada dalam keadaan optimum.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah ini diambil bagi memastikan mangsa yang dikenal pasti mempunyai penyakit sedia ada menerima penjagaan kesihatan terbaik sepanjang tempoh penempatan mereka di PPS Masjid Putra Heights.

“Saya mendapati penjagaan kesihatan ini tidak tergendala, kami juga menggunakan MySejahtera yang memberi maklumat segera berkaitan ubat diperlukan mangsa ini.

“Selain itu, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) memastikan sokongan emosi serta kestabilan mental mangsa dalam keadaan sejahtera,” katanya kepada media selepas melawat PPS Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, seramai tujuh petugas dari klinik kesihatan daerah, 12 daripada MHPSS dan tiga daripada pejabat kesihatan daerah memberikan perkhidmatan kesihatan di PPS itu. 

Katanya, mereka turut menerima sokongan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. 

Setakat tengah hari ini, PPS Masjid Putra Heights menempatkan 379 mangsa daripada 97 keluarga keluarga. – BERNAMA