Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengarahkan semua agensinya memberi kerjasama penuh bagi membantu pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung insiden kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights, Selasa lalu.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya bersedia memberi sebarang bantuan diperlukan untuk memastikan punca kejadian dapat dikenal pasti dan langkah pencegahan diambil bagi mengelak kejadian sama daripada berulang.

Malah, beliau berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga bersedia memberi bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

“Saya mengikuti perkembangan insiden di Putra Heights dengan rapat dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada pegawai KKR serta agensi terbabit.

“Tiada kata yang dapat diucap bagi menzahirkan kesedihan dan simpati kepada semua pihak yang terkesan akibat kejadian itu.

“Keselamatan serta kesejahteraan rakyat adalah keutamaan, dan saya yakin semua pihak terbabit komited memastikan siasatan penuh dapat dijalankan dengan telus serta menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Alexander turut memohon orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat berjalan lancar dan menyeluruh.

“Kami akan terus memantau perkembangan siasatan ini dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan serta keselamatan awam terjamin,” katanya.-BH Online