Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. 

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata calon baharu itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Calon duta AS akan diumumkan dalam masa terdekat, segera. Sudah ada keputusannya. Agong sudah perkenan. 

“Kita akan umumkan. Ia akan mengikut proses. Kalau boleh sabar dulu dalam sehari dua ini,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Prima Saujana di sini, hari ini.

Pada 8 Februari lalu, Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Nazri Aziz, mengesahkan tempoh perkhidmatannya selama dua tahun sudah berakhir.

Ada pihak yang mencadangkan beberapa nama untuk mengisi jawatan berkenaan.

Antara yang mencadangkan adalah bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, yang berpandangan lima nama untuk dipertimbangkan sebagai duta Malaysia ke AS yang baharu.

Mereka adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Calon lain ialah bekas pengerusi CIMB, Tan Sri Nazir Razak; bekas Ahli Parlimen, Yusmadi Yusoff; dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, Faiz Abdullah. 

Kian Ming dilaporkan berkata, Faiz banyak memberi input penting kepada Perdana Menteri mengenai dasar luar, manakala Nurul Izzah adalah pembantu utama dan Tengku Zafrul membuktikan dirinya sebagai menteri yang dipercayai Anwar. 

Nazir dikenali sebagai tokoh korporat berpengaruh, manakala Yusmadi adalah ahli lama dalam ‘kumpulan kecil individu dipercayai’ Anwar.-BH Online