SUBANG JAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengerahkan seluruh kepakarannya untuk membantu mangsa yang terjejas akibat insiden kebakaran paip gas bawah tanah di Putra Heights, di sini, Selasa lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata pihaknya menyediakan khidmat dalam bentuk perubatan, kaunseling dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights.
“Kita telah mengambil langkah segera dengan menghantar pasukan bawah KPT, termasuk pasukan perubatan dari universiti-universiti yang mempunyai hospital.
“KPT juga menghantar pasukan psikologi untuk membantu mereka yang mengalami trauma, baik dewasa mahupun kanak-kanak.
“Selain itu, kita menghantar sukarelawan daripada Siswa MADANI yang dihimpunkan dari pelbagai universiti seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPS Masjid Putra Heights, hari ini.
Zambry berkata, KPT turut mengenal pasti penuntut yang terjejas dalam insiden itu dan menyalurkan bantuan bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian.
Antara bantuan disalurkan ialah wang tunai, kemudahan komputer dan kelonggaran dalam urusan pendaftaran di universiti.
“Setakat ini, kami mempunyai sembilan pelajar yang terbabit. Kami bersiap sedia untuk menghulurkan sebarang bentuk bantuan.
“Bantuan ini bukan hanya dalam bentuk wang tunai, malah pendaftaran mereka pada Isnin nanti juga boleh dilonggarkan sekiranya terdapat kesulitan untuk mereka bergerak.
“Saya sudah memaklumkan kepada pihak universiti supaya tempoh pendaftaran mereka dapat dilanjutkan,” katanya.
Sementara itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, berkata kementerian akan memberi bantuan sewajarnya kepada warganya yang terkesan akibat insiden berkenaan.
Setakat ini, beliau berkata, dua warga Kementerian Belia dan Sukan sudah dikenal pasti terbabit dan mereka akan diberikan kelonggaran waktu bekerja.-BH Online