KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah menerima bayaran tunggakan saman sebanyak RM35 juta sejak tawaran kompaun khas dengan kadar rata RM150 bagi tiga kesalahan dilancarkan pada awal Januari lalu.
Tawaran kompaun khas itu membabitkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) (Saman 53A), Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115).
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata hampir dua juta lagi saman masih belum dilangsaikan dan pihaknya menggesa orang ramai segera menyelesaikan tunggakan bayaran ketiga-tiga saman itu sebelum 30 Jun ini.
“Sehingga kelmarin, sebanyak RM35 juta sudah berjaya dikutip hasil bayaran untuk tiga jenis saman sempena tawaran kompaun khas bermula Januari lalu.
“Kita harap orang ramai mengambil peluang ini untuk segera menjelaskan tunggakan saman mereka pada kadar RM150 saja kerana tawaran istimewa ini berakhir pada 30 Jun.
“Jika dilihat daripada pembayaran, kesedaran makin meningkat namun kita gesa lebih ramai lagi tampil membayar kerana hampir dua juta lagi tunggakan saman belum dibayar,” katanya selepas Operasi Pemantauan dan Pemeriksaan Bas Sempena Aidilfitri 2025 di Terminal Bas Lembah Sireh, di sini, malam tadi.
Muhammad Kifli berkata, selepas 30 Jun, kadar bayaran kembali seperti biasa iaitu RM300 dan sebaik tamat tempoh tawaran itu, pesalah boleh dikenakan tindakan.
Beliau berkata, antara tindakannya adalah sekatan urus niaga dan dimasukkan dalam senarai hitam sehingga mereka membayar saman berkenaan.
“Pesalah juga tidak boleh memperbaharui lesen dan cukai jalan kenderaan selagi tunggakan saman tidak diselesaikan.
“Jadi kita harap, mereka ambil peluang dua bulan yang masih berbaki ini untuk segera langsaikan tunggakan saman tiga kesalahan itu bagi mengelak kesukaran lain yang bakal dialami nanti,” katanya.-BH Online