PUTRAJAYA: Malaysia mengenal pasti tiga penyampaian ekonomi utama (PED) di bawah Trek Kewangan yang menjadi teras perbincangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 yang akan bermula 7 hingga 10 April ini.
PED itu meliputi pembiayaan mampan, ekonomi digital dan pembangunan inklusif, mencerminkan komitmen ASEAN terhadap kemajuan bersama, memastikan setiap negara anggota dapat berkembang tanpa ada yang tercicir.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata PED pertama memacu akses pembiayaan untuk peralihan adil dan berdaya tahan iklim di ASEAN, sementara PED kedua pula ialah mempercepatkan pertumbuhan pasaran modal ASEAN yang lebih mampan, terhubung dan inklusif.
Beliau berkata, PED ketiga pula ialah memperluas ketersambungan pembayaran segera yang inklusif di ASEAN.
“AFMGM akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi platform utama untuk kerjasama ekonomi dan kewangan dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Persidangan selama empat hari akan dihadiri oleh 300 delegasi termasuk menteri-menteri kewangan dan gabenor-gabenor bank pusat negara ASEAN,” katanya pada sidang media menjelang penganjuran AFMGM, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, menerusi AFMGM, negara anggota ASEAN akan bersama-sama menekankan kepentingan memperluas akses kewangan yang lebih baik dan memperkukuh mekanisme kewangan bagi menyokong pembangunan ekonomi yang adil dan lestari.
Beliau berkata, sepanjang tempoh empat hari itu, sebanyak 14 mesyuarat akan diadakan yang membabitkan pelbagai pihak, termasuk perbincangan bersama Majlis Perniagaan ASEAN-Amerika Syarikat (AS), ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.
Menurutnya, perbincangan antara Menteri Kewangan dan gabenor bank pusat juga akan diadakan bagi mengupas secara mendalam mengenai kemajuan kerjasama kewangan ASEAN.
Katanya, sesi bersama institusi kewangan antarabangsa juga diadakan bagi membincangkan impak perdagangan global dan integrasi ekonomi ASEAN-China-AS.
“Acara kemuncak AFMGM ini adalah acara penutup yang akan dirasmikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim).
Dalam sesi itu kita akan juga dapat mengesahkan PED yang kita telah selesaikan dan pelan masa depan yang kita bersetuju secara sepakat dengan rakan-rakan ASEAN semua,” katanya.
Acara sampingan AFMGM adalah Persidangan Pelaburan ASEAN anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang disusuli dengan pelancaran Panduan Pendedahan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) ASEAN yang dipermudahkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Selain itu, sesi dialog menteri mengenai dasar makro struktural ASEAN akan turut membabitkan penyertaan Amir Hamzah dan Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kewangan Kedua Singapura, Chee Hong Tat serta Naib Menteri Kewangan Indonesia, Thomas Djiwandono.
Sepanjang sidang AFMGM, Kementerian Kewangan juga menganjurkan pameran ‘Malaysia Open House Exhibition @ ASEAN KL 2025’ yang dibuka kepada orang ramai, dari 7 hingga 10 April bermula jam 9 pagi hingga 6 petang.-BH Online