Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertimbangkan menanggung kos rawatan seorang penjaja belon yang terbabit dalam insiden pergelutan dengan anggota penguat kuasanya, Jumaat lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, Pengarah Eksekutif (Sosio Ekonomi) dan Pengarah Jabatan Penguatkuasaan meluangkan masa mewakili DBKL dan melawat penjaja belon itu atau nama sebenarnya Muhamad Za’imuddin Azlan yang sedang dirawat di hospital.
“DBKL akan mempertimbangkan menanggung kos rawatannya sepanjang tempoh rawatan, tertakluk kepada semakan lanjut dan keperluan perubatan semasa.
“Kami menyeru agar semua pihak mengelak dari membuat spekulasi, bagi membolehkan pihak berwajib menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini,” katanya.
DBKL turut merehatkan tiga anggota penguat kuasa sementara siasatan dijalankan pihak polis berhubung insiden itu.
Maimunah berkata, tindakan itu diambil selepas perbincangan dengan pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
“Tindakan ini diambil bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman DBKL serta siasatan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat dijalankan secara bebas, telus dan menyeluruh tanpa sebarang campur tangan.
“DBKL memandang serius kejadian ini dan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku, sekiranya dibuktikan bersalah, terutamanya yang menjejaskan integriti dan kepercayaan awam terhadap institusi penguatkuasaan.
“DBKL kekal berprinsip untuk menegakkan tadbir urus yang berintegriti, bertanggungjawab dan berteraskan prinsip keadilan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebarang tindakan lanjut ke atas anggota terbabit akan diputuskan selepas selesai proses siasatan penuh oleh pihak berwajib.-MyMetro Online