Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah peristiwa bermakna dalam sejarah perjalanan institusi Parlimen Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, kelulusan itu menandakan pengembalian kebebasan perkhidmatan Parlimen selepas 33 tahun akta berkenaan dimansuhkan.

Beliau berkata, akta itu kali pertama diperkenalkan oleh Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, pada 1963 sebelum ia dimansuhkan pada 1992.

“Ia selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasakan institusi Parlimen dan mengembalikan autonominya sejajar prinsip demokrasi berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Semalam, Dewan Negara meluluskan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang antara lain bertujuan memastikan keberkesanan institusi itu dalam menjalankan fungsinya secara bebas sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, RUU itu diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, kelulusan RUU itu membuktikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpegang teguh kepada komitmen agenda reformasi untuk mengembalikan kebebasan perkhidmatan Parlimen.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesediaan beliau selaku Ketua Majlis untuk membuat perubahan besar dalam landskap perundangan, demi kesejahteraan negara,” katanya.

Azalina berkata, kejayaan itu akan memastikan Parlimen selaku badan tertinggi negara dalam menggubal undang-undang, dapat beroperasi secara bebas, profesional dan berautonomi sejajar prinsip pemisahan kuasa badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Beliau berkata, Parlimen kini dapat menentukan tadbir urus perkhidmatannya sendiri serta menguruskan aspek kewangan dan pentadbiran secara bebas.

“Langkah ini bukan saja mengukuhkan institusi Parlimen, malah menjadi asas penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih demokratik dan progresif,” katanya.