Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN: Malaysia sedia menerima 15 tawanan perang rakyat Palestin, antara syarat ditetapkan dalam perjanjian gencatan senjata di Gaza.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ada dalam kalangan mereka ditahan Israel tanpa bicara sejak lebih 20 tahun dan jika dibebaskan mereka tidak lagi dibenarkan pulang ke kampung halaman di Palestin.

“Seperti sedia maklum, Malaysia mengambil bahagian dalam gencatan senjata di Gaza yang dibuat atas inisiatif kerajaan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat di mana jika dibebaskan tahanan, mereka tidak boleh balik ke Gaza.

“Jadi, kita (Malaysia) kena buat cara dengan membahagikan (tawanan perang) itu antara sesama negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Kita bersetuju menerima pejuang Palestin walaupun hanya 15 orang kerana asas kita adalah hendakkan satu gencatan senjata di Gaza.

“Apabila sudah ada gencatan senjata, kedua-dua pihak Hamas dan Israel perlu membebaskan tahanan perang masing-masing dan tahanan ini tidak dibenarkan pulang ke kampung halaman mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Nuzul Quran di Dewan Pekerti, di sini, hari ini.

Mohamad berkata sebagai negara yang mendukung perjuangan rakyat Palestin sejak sekian lama, Malaysia sedia menerima pejuang terbabit.

“Ini antara sumbangan kita untuk mengambil bahagian terhadap usaha perdamaian di Gaza, malah beberapa negara lain termasuk Turkiye, Mesir, Pakistan dan Indonesia serta negara OIC turut mengambil bahagian.

“Wisma Putra sedang berunding dan memperhalusi perkara ini dan akan menghantar pasukan untuk melihat mereka yang mahu dipilih datang ke sini, dalam masa terdekat,” katanya.

Di samping itu Mohamad berharap tiada pihak salah anggap terhadap usaha berkenaan sehingga mendakwa ‘kera di hutan disusukan, anak sendiri kelaparan’.

“Saya berharap rakyat yang berjiwa besar jangan salah anggap, kita bukan nak susukan kera di hutan, tapi kita menjalankan tanggungjawab antarabangsa.

“Ini sumbangan kecil kita untuk pastikan gencatan senjata di Palestin dapat direalisasikan,” katanya.-BH Online