Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LANGKAWI: Jualan tiket untuk pelawat awam menyaksikan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25) mulai 20 hingga 24 Mei ini sudah lebih 10,000 terjual setakat ini.

Ketua Pegawai Operasi Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC), Lt Kol (B) Rambedan Ahmad, berkata jualan tiket secara dalam talian menerusi laman sesawang https://registration.lima2025.com/, bermula awal Januari lalu.

“Sehingga hari ini (semalam) sebanyak 10,000 tiket untuk pelawat awam dari dalam dan luar negara menyaksikan LIMA ’25 sudah terjual dan ia menjadi petanda positif terhadap penganjuran pameran berprestij dwitahunan itu.

“Pengunjung perdagangan juga ramai berbuat demikian,” katanya pada sidang media selepas menghadiri My Iftar@Langkawi anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) di Dataran Chenang di sini, malam tadi.

Pameran kali ini dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan GEC dengan segmen aeroangkasa di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), manakala segmen maritim diadakan di Resort World Langkawi.

Mengulas perkara berkaitan, Rambedan berkata, sebanyak 95 peratus tapak pameran LlMA ’25 sudah ditempah oleh pempamer, sekali gus membuktikan pameran edisi ke-17 itu turut mendapat perhatian pempamer dari serata dunia.

“Saya yakin menjelang sebulan sebelum LIMA ’25 keseluruhan tapak pameran untuk segmen aeroangkasa di MIEC habis ditempah oleh pempamer seperti dari China, Perancis, United Kingdom, Australia dan Itali.

“Sehingga kini dua pasukan aerobatik, Russian Knights dari Russia dan Surya Kiran (India) sudah mengesahkan penyertaan, namun kita masih menanti jawapan dari pasukan Black Eagles dari Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata, pesawat JAS39 Gripen (Tentera Udara Diraja Thailand) dan tiga pesawat Tentera Udara Singapura turut mengesahkan menyertai pameran statik. 

“Bagi segmen maritim, sebanyak enam negara mengesahkan penyertaan membabitkan keseluruhan antara 20 hingga 25 kapal perang tentera laut negara asing termasuk kapal selam Scorpene negara menyertai pameran,” katanya.-BH Online