Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA – “Majlis Amanah Rakyat (Mara) adalah benteng terakhir bumiputera,” kata Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Kata Asyraf Wajdi, Mara menjadi harapan rakyat dalam membina masa depan lebih cerah terutama dalam sektor pendidikan dan keusahawanan.

Bagaimanapun, kata beliau, institusi tersebut tidak mempunyai banyak masa kerana cabaran semakin besar dan daya saing semakin sengit.

“Rakyat semakin berharap kepada Mara terus jadi peneraju memperkasa bumiputera. Oleh itu, transformasi Mara mesti bermula sekarang.

“Kita perlu merangka ‘Game Plan’ terbaik untuk memastikan setiap dasar, program dan inisiatif benar-benar memberi impak besar kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, masa depan bumiputera bergantung pada keupayaan Mara untuk menerajui perubahan.

Ujar beliau, ia termasuk mencipta peluang baharu dan mengangkat martabat ekonomi serta pendidikan anak bangsa.

Justeru, katanya, Mara mesti kekal relevan, berdaya saing dan menjadi pemacu utama dalam agenda pembangunan Bumiputera yang dibangunkan pemimpin-pemimpin terdahulu.

“Perjuangan mereka perlu diteruskan dengan penuh amanah demi pembangunan anak bangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE