KUALA LUMPUR: Harga petak bazar Ramadan mencecah ribuan ringgit dan kegiatan sewa atas sewa menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat keputusan mengendalikan sendiri bazar Ramadan tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata sebelum ini, pihaknya menerima banyak aduan mengenai harga sewaan petak bazar Ramadan di ibu kota yang mencecah ribuan ringgit.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan peniaga kecil rasa terhimpit dan terpaksa menanggung beban kos yang tinggi.
“Pada tahun ini, DBKL hanya kenakan sewaan petak sebanyak RM500 sahaja termasuk cagaran. Jika peniaga mematuhi semua syarat dan peraturan, cagaran sebanyak RM200 akan dipulangkan. Maksudnya kos bersih hanyalah RM300 sahaja.
“Saya jumpa beberapa peniaga, borak dengan mereka. Ada yang kongsi rasa syukur, bahkan ada yang memberitahu bahawa mereka dah balik modal pun. Alhamdulillah!
“Antara kewajipan mereka sebelum diberikan lesen bazar ini, mereka diwajibkan mendapat suntikan typhoid bagi mengelakkan risiko penyebaran bakteria kepada pembeli,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.
Terdahulu, selepas mesyuarat di Parlimen semalam, Dr Zaliha mengambil kesempatan singgah ke Bazar Ramadan Wangsa Maju yang terkenal sebagai bazar terpanjang di Kuala Lumpur.
Dalam masa yang sama, beliau turut meninjau bagaimana pengurusan bazar dijalankan berikutan tahun ini pengurusan diurus sepenuhnya oleh DBKL tanpa melalui pihak ketiga.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, berdasarkan hasil risikan yang dilaksanakan, sebelum ini ada peniaga yang sewa petak bazar kendalian pihak ketiga lebih dari satu petak.
Katanya, kemudian mereka ‘alibaba’ petak tersebut dengan harga yang tinggi kepada orang tempatan yang memang mahu berniaga pada bulan Ramadan dan yang menjadi mangsa adalah peniaga dan penjaja kecil setempat.
“Jadi, untuk tahun ini, DBKL berikan lesen bazar terus kepada peniaga dan satu nama hanya boleh memohon satu petak sahaja.
“Dalam masa yang sama, penama lesen tersebut perlu berada di petak mereka pada setiap masa kerana jika DBKL buat pemantauan dan mendapati penama lesen tiada di tapak, kita akan ambil tindakan,” katanya.
Katanya, dalam tinjauan yang dijalankan beliau sempat bertanya pandangan pengunjung dan rata-rata memuji pengurusan bazar tahun ini dan mengatakan ia lebih kemas selain harga jualan berpatutan.
“Saya bawa bersama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk pantau harga dan Alhamdulillah, harga jualan berada dalam lingkungan yang wajar.
“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk kebaikan semua pihak.
“Matlamatnya jelas iaitu untuk memberi peluang yang adil kepada peniaga kecil dan mengelak dari manipulasi pihak tertentu serta dalam masa yang sama memastikan tata kelola yang baik diamalkan,” katanya.-BH Online